Sunday, October 17, 2010

TERUSKAN PERJUANGAN DEMI RAKYAT...PARTI UNTUK RAKYAT...

petikan dari Utusan Malaysia

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 17 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat.
Perdana Menteri berkata, keutamaan perlu diberikan kepada usaha tersebut kerana sasaran UMNO adalah untuk mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
Katanya, memang tidak dinafikan langkah itu akan menyebabkan pemimpin dan ahli UMNO terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran tetapi ia tidak harus mematahkan semangat mereka demi masa depan parti.
''Jangan fikir hendak cari jalan di kawasan selamat sahaja sebaliknya kita hendakkan kawasan yang lebih mencabar. Tidak kiralah sekiranya kita dikutuk, dititik dan diragut. Asalkan atas nama perjuangan kita tidak akan berundur tetapi kita terus mara ke hadapan.
Sementara itu, beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat perlu diberitahu bahawa segala perubahan serta setiap program yang memberi faedah kepada mereka adalah datang daripada usaha kerajaan BN.
''Selama ini BN tidak terlalu menggambar gemburkan program-program yang memberi faedah kepada rakyat. Tidak seperti pembangkang buatnya tidak seberapa riuhnya sekampung.
''Kita buat jasa setinggi gunung namun orang kurang kenang jasa kita. Oleh itu sudah sampai masanya kita beritahu kepada rakyat jelata bahawa yang membuat perubahan, yang berjasa kepada rakyat dan yang berbudi kepada rakyat ialah parti kita BN,'' katanya.
Sebagai contoh, katanya, langkah kerajaan melanjutkan program pemberian elektrik percuma RM20 kepada sejuta pengguna yang layak.
''Di Selangor baru ada program beri air percuma sudah riuh satu negeri sedangkan kita telah buat lebih daripada itu,'' katanya.
Dalam ucapannya, Najib juga menyentuh mengenai kepentingan BN dan UMNO menjaga hati nurani rakyat secara keseluruhan.
''Kita perlu menjadi parti yang disenangi oleh semua rakyat jelata dan bukan hanya melihat soal dalaman atau kumpulan kita sahaja kerana kita harus sedar dalam amalan demokrasi berparlimen rakyat jelata yang akan mendokong kejayaan kita,'' ujar Najib
Mengenai pembentangan Bajet 2011, beliau berkata, asasnya adalah kesejahteraan rakyat.
''Atas sebab itu, di dalam bajet tersebut saya cuba memasukkan kepentingan semua pihak dalam usaha kita untuk mensejahterakan rakyat. Antara langkah kita menaikkan elaun imam, ketua kampung dan guru KAFA.
''Begitu juga langkah kita memperkenalkan skim pemilikan rumah pertama untuk golongan muda berpendapatan RM3,000 ke bawah,'' katanya lagi.

No comments:

Post a Comment